Peminat Bola

Baca ni!!!

Wan Zack Haikal, Nazirul Naim ke Jepun mahu cipta impak bersama FC Ryukyu


 Dua pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Mohd Nazirul Naim Che Hashim bertekad untuk mempamerkan aksi cemerlang bersama kelab baharu FC Ryukyu dari Jepun.
Dua pemain berkenaan menyifatkan peluang beraksi di negara ‘Matahari Terbit’ itu merupakan peluang yang tidak harus dilepaskan.
Kedua-dua pemain itu menandatangani kontrak bersama kelab divisyen tiga itu berpangkalan di Okinawa, Jepun, pada 23 Mac lepas di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini.
Bagi Wan Zack Haikal, 22 yang bermain di posisi sayap kanan berkata, beliau menyasarkan untuk membantu kelab berkenaan meraih kejuaraan Divisyen 3 seterusnya naik ke Divisyen Dua pada Liga Jepun pada musim depan.
“Saya berharap mampu bermain secara tetap dalam kesebelasan utama pasukan biarpun harus bersaing dengan pemain yang lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan jersi pasukan oleh Naib Presiden Eksekutif FC Ryukyu, Sotaro Shinoda di sini, pada Isnin.
Wan Zack Haikal berkata dengan kehadiran Mohd Nazirul Naim, beliau yakin tidak akan berdepan dengan banyak masalah untuk menyesuaikan diri dengan buadaya dan cuaca di negara itu.
Mengulas lanjut, Wan Zack yang akan memakai jersi bernombor 33 berkata beliau akan berusaha mencapai kecemerlangan bersama kelab berkenaan.
“Paling penting kepada mana-mana pemain yang ingin beraksi di luar negara ialah melupakan kerinduan di kampung halaman sebaliknya fokus dengan pasukan baru mereka,” kata anak jati Pahang itu yang menandatangani kontrak selama dua tahun dengan kelab berkenaan.
Berkongsi pandangan sama ialah Mohd Nazirul Naim yang bertekad mengisi posisi utama di bahagian sayap kiri dalam pasukan berkenaan walaupun sedar ia merupakan satu cabaran sukar kepada beliau.
Anak jati Kuala Kangsar Perak berusia 19 tahun itu yang akan memakai jersi bernombor 32 berkata beliau tidak mahu menjadikan masalah komunikasi dan budaya sebagai halangan untuk beraksi cemerlang.

“Sebagai pemain bola sepak, kita harus pandai menyesuaikan diri dengan keadaan di negara orang bagi memastikan kita mampu bertahan lama,” katanya yang mengikat kontrak selama setahun.
Sementara itu, Sotaro berkata mereka mengikat kontrak dengan tempoh berbeza selepas menilai persembahan masing-masing.
“Kami melihat aksi Wan Zack Haikal ketika bersama Harimau Muda A pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2012 manakala Mohd Nazirul Naim ketika lawatan pasukan itu ke Malaysia bulan lepas,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua pemain itu perlu bertarung untuk mengisi tempat kesebelasan utama yang akan diputuskan oleh ketua jurulatih Takeo Matsuda.
Kedua-dua pemain Malaysia adalah antara lima pemain import dalam pasukan itu selain dua pemain Korea dan seorang dari Brazil. – BERNAMA





No comments:

Post a Comment

DAH BACA?KOMEN LAH.....
SATU PUN JADI LAH,TAPI KALAU LEBIH LAGI HAPPY...
HIHIHIHI...