Peminat Bola

Baca ni!!!

Amirulhadi Kekal Bersama Selangor




Setelah spekulasi mengenai perpindahan pemain sayap Selangor, Amirulhadi Zainal ke pasukan lain hangat dibincangkan oleh peminat, akhirnya Amirulhadi menemui keputusan muktamad untuk kekal bersama Selangor.
Amirulhadi, 25, memilih untuk menyambung kontrak selama setahun bersama pasukan Gergasi Merah ini setelah mengkaji tawaran yang telah diberikan oleh pasukan-pasukan luar. Menurut beliau, keputusan yang telah dicapai ini bukanlah kerana soal gaji yang ditawarkan, tetapi kerana faktor kepuasan bermain serta keseimbangan kekuatan pasukan yang ingin mendapatkan khidmatnya. Amirulhadi ketika itu diminta mengulas mengenai desas-desus yang mengatakan beliau akan beraksi untuk pasukan Kelantan pada musim hadapan, kerana kini skuad Kelantan telah pun diumumkan.
“Ya, memang pasukan Kelantan serta beberapa pasukan lain termasuk kelab juga berminat untuk mendapatkan khidmat saya. Tetapi saya memilih untuk menyambung kontrak saya bersama Selangor. Keputusan saya ini tidak ada kena mengena langsung soal gaji yang ditawarkan. Apa yang saya inginkan ialah kepuasan bermain. Jika kita lihat, pasukan Kelantan sendiri sudah mempunyai beberapa pemain di posisi saya. Sudah tentu perkara ini akan menjadi satu persaingan yang sihat, cuma saya lebih senang dan serasi jika saya terus mengekalkan tempat saya di dalam skuad Selangor dan membantu pasukan dalam kempen 2012.”, ujar beliau.
Beliau turut menambah,”Sebenarnya agak sukar juga untuk membuat keputusan ini, kerana saya telah melihat tawaran yang diberikan daripada pelbagai sudut, terutamanya dengan kemasukan Kelantan ke dalam kancah Piala AFC yang sangat menarik minat saya, akan tetapi keputusan harus dibuat dan saya berpuas hati dengan keputusan saya.”
Larian deras serta kelincahan Amirulhadi Zainal semestinya menjadi buruan pasukan-pasukan yang beraksi di Liga Super serta di Liga Premier. Beliau juga terus menjadi sandaran jurulatih pasukan kebangsaan, K. Rajagobal setelah beliau membantu pasukan kebangsaan memenangi Piala AFF 2010 yang berlangsung di Indonesia, tahun lepas.



Kredit pada dunia sukan

No comments:

Post a Comment

DAH BACA?KOMEN LAH.....
SATU PUN JADI LAH,TAPI KALAU LEBIH LAGI HAPPY...
HIHIHIHI...